Thursday, December 17, 2009

Saya dan Hadi

oleh Cucu Cicit Bani Adam :

Salam Anon 11.57

Posting BP di atas, adalah komen yang telah saya tulis dalam posting blog BP baru-baru ini.

Saya bertanggungjawab apa yang saya tulis. Saya bukannya, sehari dua menjadi ahli Pas. Saya telah menjadi ahli Pas sejak tahun 70an sehingga kini. Saya pernah menjadi pemimpin peringkat kawasan di Wilayah Persekutuan. Dan sehingga kini saya masih menjadi ahli Pas yang setia.

Dari bersongkok bertukar kepada Serban

Komen saya tentang TGHH, tidak akan menjejaskan kehebatan dan sumbangan beliau sejak beliau menjadi ahli dan pemimpin Pas ,iaitu sejak beliau berceramah dengan bersongkok, berpakaian baju batik dan berseluar panjang sehingga dia bertukar imej kepada berserban dan berpakaian jubah. Dan sehingga kini saya masih menghormati beliau sebagai presiden Pas kerana itu adalah kehendak para pewakilan Pas selepas pemergian Tuan Guru Fadhil Noor (semoga Allah merahmati rohnya).

Menegur pemimpin

Walaubagaimanapun, adakah salah saya menegur pemimpin dan memperkatakan sisi kelemahan beliau supaya beliau dapat membetulkan kelemahan yang jelas kelihatan terutama dari segi kepimpinan.

Kalau teguran kepada pemimpin satu kesalahan , bagaimana pula dengan keadaan sahabat-sahabat Nabi S.A.W yang menegur dengan keras terhadap para khalifah selepas Nabi kecintaan umat , mengadap kekasihnya, Tuhan Rabbul Jalil?

Adakah teguran sahabat-sahabat Nabi S.A.W , itu timbul dari niat , buruk sangka dan hati busuk?

Jawapannya tentu tidak. Teguran para sahabat terhadap para khalifah selepas ketiadaan Nabi tercinta adalah tumbuh dari hati yang jernih untuk membetulkan kesilapan 'insani' para khalifah yang empat , yang bukan maksum tetapi dijamin memasuki syurga oleh Allah dan Rasul.

Zon peperangan

Untuk makluman saudara, kita sedang berada dalam zon perang dengan golongan nasionalis yang sepanjang kewujudan mereka, sentiasa hendak menghancurkan kebangkitan dan perjuangan umat.

Khusyuknya berfikir

Oleh itu kita mahu kesemua pemimpin Pas , termasuk TGHH, melihat ke dalam diri dan mendengar teguran ahli bawahan yang melihat terdapat beberapa ciri kelemahan yang melekat pada batang tubuh dan pemikiran mereka.Teguran memang pahit terhadap pemimpin , tetapi untuk layak menjadi pemimpin dalam keadaan suasana perang ideologi yang sebegini ganas, pemimpin Pas perlu mendengar pandangan ahli bawahan demi kebaikan jemaah dan umat Islam amnya , secara baik dan berusaha membaiki kelemahanan yang ada.

Kualiti penulisan buku para pemimpin

Saya juga menulis tentang kegagalan pemimpin Pas, termasuk TGHH dari segi penulisan buku yang terlalu simplistik. Kalau ulamak dalam Pas mahu menulis, biarlah tulisan itu melambangkan kesarjanaan yang tinggi agar setaraf dengan ulamak Timur Tenggah atau Benua India. Kalau Almarhum Buya HAMKA, tokoh pemimpin Muhammadiah di Indonesia, Syed Abul Ala Maududi , Ketua Umum Jemaatul Islami, Pakistan dan Syed Qutub, Ikhwan Muslimin, boleh menghasilkan kitab-kitab tafsir yang besar dan dibaca oleh jutaan umat Islam seluruh dunia, apakah halangan para ulamak Pas menghasilkan kitab tafsir? Mungkinkah sebabnya mereka gagal untuk dimasukkan ke penjara oleh pemerintah sekular yang ada, maka kesempatan menulis kitab tafsir atau kitab yang boleh dianggap sebagai 'masterpiece' itu tiada?

Yang cuba saya katakan, Ulama Pas kini, sudahlah gagal menjadi pemimpin yang efektif dan pintar bersilat digelanggang politik, tetapi dalam masa yang sama dari segi penulisan kitab pun mereka gagal juga sedangkan mereka dianggap ulamak yang 'muktabar' oleh pengikut Pas, termasuk saya.

Kerisauan ahli parti

Oleh kerana itu bila saya merasa gelisah dan risau dengan pemimpin bertaraf ulamak ( kecuali seorang dua ulamak). Adakah salah, saya menyatakan kegelisahan saya?

Mungkin ada yang akan mencemuh saya dan berkata , "kalau ulamak seperti TGHH gagal berusaha menjadi pemimpin yang berwibawa, mengapa tidak kamu saja yang tampil memimpin Pas kalau diri terasa hebat?" Maka jawapan saya, " Sesungguhnya saya pun tidak punya ciri-ciri pemimpin yang boleh melonjak jemaah kepada satu 'level' yang tinggi untuk menundukkan parti UMNO dan BN yang serba korup".

Maaf kalau terkasar bahasa.Saya insan lemah disisi Allah.

No comments: