Saturday, December 19, 2009

Surat terbukaku kepada kekanda Suhaizan Kayat. Hudud dan PAS, suatu persoalan ?

oleh ali :

Kehadapan kepada kekandaku Suhaizan Kayat. Semoga sihat hendaknya. Di sini adinda ingin berbicara dengan kanda. Telah diketahui kanda akan berucap bagi mewakili PAS dalam Konvensyen Pakatan Rakyat pada hari Sabtu 19 Disember nanti.

Benarkah kanda Suhaizan mahu membahaskan supaya Pekara 4 Perlembagaan Persekutuan dipinda agar membenarkan kerajaan-kerajaan negeri melaksanakan undang-undang Islam(Syariah) atau Hudud diperingkat negeri-negeri ?? Jika benar izinkan dinda berbahas dengan kanda akan isu ini. Jika tidak benar sekalipun, dinda masih berhajat untuk berbicara demi kepentingan umat Islam Malaysia. Mungkin pandangan dinda sedikit berbeza dengan kanda.

Isu negara Islam & Hudud

Polemik isu ini sentiasa berterusan dan kadangkala memualkan bagi sesetengah yang tidak memahami. Hujah-hujah matang berdasarkan ilmu dan fakta atau berdasarkan evidence base jarang diperkatakan. Jika diperkatakan ia berbaur sentimen kepartian dan dibauri oleh sikap prejudis. Boleh dinda bertanya kepada kanda, adakah hudud ini adalah "real problem" atau hanya "presenting problem" ?? Mari kita sama-sama fikirkan secara objektif.

Kanda, adakah negara Malaysia ini negara Islam ?? Bagi dinda, jawapannya umpama menjawab soalan siapa mana yang dahulu, ayam atau telur ?? Chicken and egg question ini agaknya boleh dimisalkan dengan perumpamaan ini,

"Abu apepasal kau tak solat jumaat"

"Aku punya pasal la, ape hal kau nak sibuk"

"Kau ni kapir la Abu"

Satu hari kawan ni ajak pegi solat maghrib.

"Abu jom solat maghrib berjemaah kat masjid. Ada ceramah Harun Din"

"Eh apepasal aku nak pegi pulak. Itu hari kau cakap aku kapir. Orang kapir mana boleh solat"

Kanda, kita selalu mengatakan orang di sebelah sana tidak melaksanakan Islam. Malah kita tergamak mengatakan negara ini bukan negara Islam semata-mata kerana tidak menjalankan hudud. Sedangkan negara Islam menuntut pembaikkan yang berterusan, samada dari segi pembangunan material mahupun spritual. Kaedah dakwah kita selalu celaru dengan kita selalu berperanan sebagai penghukum. Kita selalu berpendapat, bila kita menghukum pihak di sebelah sana, kita sedang berdakwah. Walhal teknik itu salah. Sebagai pendakwah dan juga ahli politik yang bijaksana, kita harus pandai berdiplomasi dan tidak bertindak sebagai penghukum. Pendakwah dan penghukum adalah 2 pekara yang amat berbeza sekali.

Pihak di sebelah kita

Kita yang selalu mengatakan negara ini bukan negara Islam, maka tentulah kerja kita lebih banyak lagi memandangkan banyak bidang-bidang kehidupan seperti ekonomi, pendidikan, kesihatan dan orang melayu itu sendiri yang perlu diISLAMkan dalam ertikata yang sebenar. Presiden kita semasa menjadi Ketua Pembangkang pernah mengatakan bahawa hudud ini hanya mewakili 0.01% juzuk dari ajaran Islam. Habis mana lagi baki 99.99% ?? Kita masih belum boleh menunjukkan contoh 99.99% dari ajaran Islam yang berbaki itu. Dalam bidang ekonomi, publik boleh mempersoalkan tentang KOHILAL. Dalam bidang kesihatan, orang akan hairan mengapa PPK atau Pusat Perubatan KOHILAL tidak berkembang. Kanda boleh klik link ini dan baca point nombor 4 untuk keterangan lanjut. Nanti publik akan mempersoalkan kita, bagaimana mahu melaksanakan hudud walhal dalam bidang-bidang lain kita ketinggalan. Kenapa kita terlalu sangat menekankan hukum hudud sedangkan banyak pekara lain yang kita jauh tertinggal ??

Masalah Solat yang belum selesai

Solat adalah pekara pertama yang amat dititikberatkan dalam agama kita. Baginda nabi kita menerima wahyu tentang kewajipan solat bukan melalui malaikat Jibrail tetapi direct melalu ALLAH. Adakah persoalan solat dikalangan orang Melayu sudah diselesaikan ?? Adakah solat telah berjaya membentuk keperibadian dan sikap orang Melayu ?? Masih ramai Melayu yang belum solat. Bagi yang bersolat, berapa ramai pula yang khusyuk dan menghayati solat sebagaimana baginda nabi dan para sahabat bersolat. Walaupun orang Melayu bersolat, mereka tidak membaca al-Quran dalam solat. Mereka membunyikan al-Quran sepertimana burung kakak tua berkata-kata. Burung kakak tua tidak faham apa yang diperkatakan walaupun petah berkata-kata. Begitu juga orang Melayu bila bersolat, mereka membunyikan al-Quran tetapi tidak faham apa yang dibunyikan. Membaca dan membunyikan apa yang dibaca adalah 2 pekara yang amat berlainan sekali.

Kanda mahu bukti yang isu solat belum selesai di kalangan Melayu ?? Lihat sendiri gejala sosial, buang anak, berzina, kes ragut dan lain-lain, orang Melayu yang menjadi juaranya. Allah telah menegaskan dalam al-Quran, sesunggunya solat boleh mencegah daripada perbuatan keji/fahsya(zina) dan mungkar. So bila perbuatan keji(zina) dan mungkar masih berleluasa, itu petanda solat orang Melayu ada masalah(jika bersolat) dan tidak solat langsung. Hudud adalah bentuk pencegahan "Dari luar ke dalam" manakala solat adalah mekanisma pencegahan "dari dalam ke luar". Atas premis itu, solat lebih utama daripada hudud dalam usaha membenteras kemungkaran tanpa dinda menafikan kepentingan hudud.

Masalah Tauhid

Dalam jemaah kita sendiri masih ramai yang dihinggapi masalah tauhid. Tauhid mereka tidak lurus kepada ALLAH. Tauhid mereka tidak bersih. Ada yang mempercayai benda-benda tahyul seperti bela ikan tertentu akan dapat "ong", berubat dengan bomoh, mandi bunga nak mendapatkan jodoh atau kerja, pakai tangkal dan lain-lain lagi.

Kadang-kadang dinda melihat masyarakat Melayu kita pada hari ini saling tidak tumpah seperti arab jahilliyyah semasa Muhammad dilantik menjadi Rasul. Malah lebih teruk dari itu lagi. Orang Melayu buang bayi tanpa mengira jantina dalam tong sampah, orang arab jahilliyyah baik sedikit, dia tanam bayi perempuan hidup-hidup. Tapi bukan itu persoalan yang mahu dinda rungkaikan. Orang arab jahilliyyah juga mempercayai ALLAH sebagai tuhan mereka. Nama bapa kepada Baginda Nabi kita dinamakan sebagai "Hamba Allah" atau Abdullah oleh datuknya. Allah sendiri merakamkan tentang keadaan akidah orang arab Quraisy ketika itu dalam Surah Al-Ankabut(29), ayat ke-61. Ia berbunyi :

Dan sesungguhnya jika kamu yang tanyakan kepada mereka: "Siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan ??" Pasti mereka akan menjawab: "Allah"...

Jika begitu perihalnya, mengapa Baginda nabi masih diutuskan sebagai Rasul untuk membawa risalah tauhid kepada suku kaum Quraisy?? Dan mengapa pula risalah Tauhid yang dibawa nabi ditolak oleh kaumnya ?? Di sini dinda nampak satu titik persamaan antara kaum Quraisy dan orang Melayu pada zaman sekarang. Iaitu syirik. Mari kita baca Surah Az-Zumar(39), ayat ke-3. Ia bermaksud :

"Kami tak sembah berhala ini melainkan supaya mereka membawa kami dekat kepada Allah"

Walaupun suku kaum Quraisy percaya kepada kekuasaan Allah tetapi mereka terang-terangan mensyirikkan Allah dengan menyembah berhala. Oleh itu, kempen Baginda nabi ke atas kaumnya bukan memperkenalkan Allah kerana kaumnya sudah lama kenal Allah dan sifatnya tetapi nabi memperkenalkan kempen anti-syirik. Kempen anti-syirik itu ialah nabi membawa kaumnya hanya menyembah dan memperakui kekuasaan Allah sahaja. Lain-lain benda atau sesuatu selain dari Allah ditolak sama sekali.

Apa berhala orang Melayu ?? Sudah tentulah Melayu tidak menyembah berhala seperti kaum hindu. Tetapi Iblis berjaya memesongkan akidah orang Melayu dengan menjadikan tangkal, bomoh, pemimpin, ulamak, bela ikan tertentu ada ong, mandi bunga untuk tujuan tertentu, materialistik, wang dan segala macam sebagai berhala. Orang Melayu dengan sengaja atau tidak sengaja menyembah berhala dalam rupabentuk baru ini. Jika akidah orang Melayu belum bersih dari berhala-berhala ini, bagaimana tauhid mereka mahu lurus kepada Allah. Jika mereka solat pun, solat mereka tidak diterima Allah. Dan bagaimana solat mereka mahu mencegah mereka dari pekara keji dan mungkar ?? Kanda, adakah hudud sesuai diperkatakan kepada golongan ini ?? Solusi yang sesuai ialah memantapkan pendidikan dan dakwah kepada publik dengan hikmah dan kasih sayang.

Tariq Ramadan

Baru-baru ini pemikir Islam dan bekas pensyarah Universiti Oxford iaitu Tariq Ramadan telah datang ke Malaysia. Tariq adalah anak kepada Said Ramadan. Said Ramadan ini telah dibuang negara oleh Presiden Mesir iaitu Gamal Abd. Naser kerana aktivitinya dalam Ikhwan Muslimim. Said dibuang lalu bermastautin di Switzerland. Di sana anaknya Tariq Ramadan dilahirkan. Said Ramadan adalah menantu kepada Hasan Al-Banna iaitu founder kepada Ikhwan Muslimin. Ringkas cerita Tariq Ramadan adalah cucu Hasan Al-Banna.Semasa di Kuala Lumpur, ia telah ditanya tentang Islam dan hudud.

Tambahnya, ulama perlu membezakan prinsip dasar perundangan Islam dan juga undang-undang syariah, sesuai dengan keperluan semasa, untuk mencapai objektif prinsip tersebut."Contohnya, Saidina Umar Al-Khattab telah menggantung sementara pelaksanaan hukum hudud pada satu tahun ketika rakyatnya menghadapi kebuluran.Bagaimana ini boleh dilakukan sedangkan di dalam Al-Quran telah menyatakan (kewajiban hudud) ini dengan jelas?" katanya lagi.

Jelasnya, undang-undang itu perlu difahami sebagai satu tujuan untuk mencapai keadilan dan bukannya tentang pematuhan kepada kod syariah semata-mata."Kita memerlukan (model) yang lebih sofistikated. Untuk pergi ke arah itu, kita perlu mempunyai wawasan, rangka kerja dan perubahan radikal dalam pemikiran kita," katanya lagi.

Jelasnya lagi, prinsip Islam bersifat sejagat dan merentasi tempat dan masa tetapi model tertakluk pada konteks masa atau lokasi pelaksanaan sesuatu."Jadi, jika kita cuba mempraktikkan model Madinah (pentadbiran Islam era Nabi Muhammad) di Kuala Lumpur, ia adalah mustahil," katanya, kini presiden Jaringan Islam Eropah yang berpusat di Brussels.


Adinda percaya kanda Suhaizan pasti memahami apa yang dimaksukkan oleh Tariq Ramadan. Wahai kekandaku, kita belum pun mencapai kemenangan. Waktunya belum sesuai untuk membicarakan hudud.

Umar Abdul Aziz

Mari kita renung kembali sirah khalifah Umar Abdul Aziz.

Apabila mencapai kemenangan, tidak semestinya semua perkara yang menjadi cita-cita Islam dilaksanakan terus, sebaliknya berhikmah dalam perlaksanaan perlu dilakukan. Perlaksanaan Islam seperti yang dilakukan oleh Umar bin Abdul Aziz amat perlu dipelajari. Waima memerintah secara solid, banyak perkara yang tidak dapat dilaksanakan beliau.

Abdul Malik, yang merupakan anak beliau bertanya, " Mengapa tidak dilaksanakan semua perkara Islam, walhal kita sudah memerintah”. Umar bin Abdul Aziz hanya menjawab, ”Jangan kamu gopoh wahai anakku, sesungguhnya Allah cela arak dalam al-Quran sebanyak dua kali, kemudian haramkannya pada kali yang ketiga”


Kanda, mungkin kita boleh belajar dari Taliban. Semasa mereka menguasai negara Afganistan. mereka melaksana hukum Islam secara total dan terburu-buru. Menyebabkan semasa mereka diserang Amerika, rakyat tidak bersama Taliban. Bagaimana mungkin rakyat mahu bersama mereka, sedangkan cara Taliban tidak diplomasi dalam melaksanakan undang-undang syariah disana.

Dulu popular satu gambar yang tersebar dimana seorang pemuda Taliban yang bersenjata menarik janggut seorang tua untuk solat jemaah. Solat jemaah bagus, tapi approachnya tidak kena. Boleh dinda katakan sebagai kurang ajar. Itu sahaja sudah mendatangkan persepsi yang salah kepada Islam.

Mari ke Kelantan

Di negeri ini kita mendapat kuasa. Adakah kita menggunakan kuasa dengan sebaik-baiknya di negeri Kelantan?? Famili adinda pernah bermastautin disini selama 2 tahun di Pangkalan Chepa. Malah disini ahli famili dinda bertambah 3 orang. 2 ipar dan satu anak buah.Hanya 2 pekara yang ingin diperkatakan oleh dinda. Golongan remaja dan kebersihan.

Remaja di Kelantan banyak terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat. Kedua-dua ibubapa para remaja ini sibuk dengan pekerjaan dan aktiviti perniagaan menyebabkan ibubapa ini menyerahkan anak muda mereka kepada kerajaan untuk dididik. Ibubapa ini menganggap pengisytiharaan Kota Bharu sebagai Bandaraya Islam pada akhir tahun 2005 sebagai lampu aladin untuk menyelesaikan masalah sosial anak remaja mereka. Tiada yang mudah dalam hidup ini. Memang ada usaha untuk memulihkan anak remaja Kelantan ini. Tetapi bagai ada yang sesutau yang pincang di sana.

Bukti bahawa anak remaja Kelantan mempunyai masalah sosial terutama di Kota Bharu ialah dengan kewujudan Raudhatus Sakinah,RS kelolaan JIM di Kota Bharu. Semua orang tahu JIM adalah NGO bebas yang tidak punya kaitan dengan PAS. Setakat ini JIM menubuhkan 3 pusat RS di Malaysia dan meletakkan prioriti penubuhan pusatnya di tempat-tempat yang tinggi gejala sosial di mana wanita muda yang menjadi mangsanya. Kenapa Kelantan ada RS ?? Jawapannya mudah, gejala sosial tinggi di negeri ini walaupun PAS yang memerintah. Kanda klik link ini untuk aktiviti RS Kelantan. Adakah hudud sebagai solusi remaja di Kelantan ?? Dinda rasa itu bukan jalan penyelesaiannya. Ia masih bertitik tolak kepada tauhid, solat dan pendidikan. Sepertimana yang dinda bincangkan di awal-awal surat ini.

Kebersihan di Kota Bharu masih lagi menjadi cabaran besar bagi kerajaan yang diterajui PAS. Sedangkan kebersihan adalah sebahagian dari iman. Malu kita nak bandingkan tahap kebersihan Kota Bharu dengan bandar Singapura. Padahal Singapura tidak Islam pun kerajaannya. Tetapi rakyatnya Islamik dalam soal kebersihan. Selain dari masalah iman, rupanya MPKB-BRI mempunyai masalah sampingan. Kanda boleh klik link ini dan ini sebagai bacaan lanjut.

Sebagai tambahan, remaja di Kelantan keliru dengan dakwah di sini. Mereka mempunyai persepsi bahawa ajakan kepada dakwah Islam adalah ajakan kepada parti. Ini tidak kena. Sepatutnya kita agungkan nama Allah. Bukan nama parti. Kanda, kita mesti sama-sama berusaha untuk selesaikan masalah ini dahulu sebelum ke agenda yang lebih besar lagi. Selain sebagai tanggungjawab kita bersama, tidaklah pihak musuh menyindir kita, "Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran".

Menegakkan Negara Islam cara Nabi

Mula-mula turunnya wahyu tentang keesaan Alllah semasa period di Mekah. Surah-surahnya pendek. Di tahap ini nabi menggunakan 2 kaedah iaitu berdakwah dan pendidikan. Kempen dakwah nabi ketika mengajak suku kaum Quraisy di Mekah ialah mereka diajak berfikir tentang alam yang dijadikan tuhan. Kemudian diterangkan sifat-sifat Allah, kehidupan selepas kematian, syurga dan neraka.

Bagi mereka yang sudah menerima Islam, nabi terus mendidik mereka agar lebih mantap dan tahan diuji. Pada tahap ini setelah mereka menerima Islam dengan akal, iman itu dimantapkan ke dalam jiwa. Hati dan fikiran manusia disedarkan dan dididik melalui surah-surah Makkiyah tentang kebesaran Allah, syurga neraka dan perkara-perkara ghaib.

Dakwah dan pendidikan dilakukan secara lemah lembut dan berterusan. Lalu lahirlah generasi pertama sahabat yang digelar oleh As-syahid Syed Qutb sebagai generasi al-Quran. Waktu itu, walau sebesar mana pun pertentangan yang datang, nabi tidak membalasnya. Keluarga Yasir dibunuh, Bilal diseksa. Khabab pula ditusuk dengan besi panas berapi di bahagian belakang tubuhnya. Bila Khabab tidak tahan diseksa, nabi bersabda, "Umat terdahulu lebih dahsyat diseksa sehingga kepala mereka digergaji..". Ada para sahabat-sahabat yang mahu membalas penyeksaan tersebut. Tetapi nabi menahan mereka dengan lunak.

Bukan kerana takut. Nabi tidak membalas pertentangan itu kerana tempoh berdakwah tidak boleh diganggu dengan peperangan dan membalas balik provokasi musuh. Maka dalam dakwah kita mesti melahirkan keindahan, keamanan dan kasih sayang. Dulu pemuda PAS terkenal dengan slogan "Duta Penyelamat dan Kasih Sayang" yang dibawa oleh kanda Salahudin Ayub. Mana pergi slogan itu ??

Setelah 13 tahun, barulah nabi berhijrah ke kota Madinah. Di sini nabi memulakan tahap baru perjuangan dengan turunnya ayat Quran yang menuntut dilaksanakan peraturan Allah sebagai satu cara hidup yang lengkap. Menerusi surah-surah Madaniyah yang lebih panjang berbanding surah Makiyah, Allah menjelaskan falsafah dan perlaksanaan sistem hidup Islam yang merangkumi bidang ekonomi, politik, sosial, pendidikan, perundangan dan lain-lain.

Dengan kekuatan iman dan persaudaraan muslim, cara hidup Islam dapat ditegakkan walaupun mendapat persaingan dari yahudi Madinah dan musyrikin Mekah. Ketika umat Islam di Madinah terus mara ke hadapan dengan pelbagai kemajuan dalam bidang ekonomi, politik, sosial, pendidikan, ketenteraan dan budaya, pada yang sama juga para sahabat terus dididik dengan sifat-sifat ikhlas, pemaaf, pemurah dan saling berukhwah serta tidak mementingkan diri sendiri. Dengan itu, para sahabat sikit pun tidak terpaut dengan kekayaan, kuasa dan gilakan populariti atau kemasyhuran walaupun segala-galanya sudah berada di tangan mereka.

Kanda, itulah negara Islam model Baginda Nabi. Dinda coretkan sebagai bahan berfikir kita bersama. Apakah model itu telah kita teladani ??

Cadangan semasa berucap di pentas

Dinda mempunyai beberapa cadangan untuk kanda bahaskan semasa berucap di pentas Konvesyen PR pada tengahari esok.

Ekonomi. Nasib rakyat dihujung tanduk. Ditambahparahkan bila 5 ahli Parlimen kita tidak hadir mengundi baru-baru ini di Parlimen. Bahaskan kanda. Cukai GST mahu diimplimentasikan di negara ini. Tentang habis-habisan GST. Gerakkan peserta konvensyen, supaya mereka tidak tidur melihat periuk nasi rakyat ditabur pasir oleh Kerajaan Barisan Nasional (5 MP kita bangga menolong mereka dengan senyuman).

Shodow Cabinet. PR sebagai government in waiting perlu tunjukkan komitmen untuk meraih kepercayaan publik. Publik perlu jelas siapa yang akan menjadi Perdana Menteri PR, siapa akan menjadi Menteri Kewangan, siapa akan menjadi Menteri Pendidikan dan lain-lain. Ini supaya publik boleh menilai kemampuan mereka. Kena pilih elok-eloklah. Jangan main-main dalam soal ini. Kita perlu mendapat rasa yakin rakyat terhadap kita. Baru publik selesa mengundi kita dalam Pru-13 nanti.

Logo baru PR

Synchronize. Buat waktu ini, negeri-negeri yang dikuasai PR mempunyai halatuju yang berlainan tanpa keselarasan dari segi matlamat dan halatuju. Kerajaan negeri Pulau Pinang yang dikuasai DAP tidak sama dengan Kerajaan negeri Selangor yang dibawah kawalan PKR. Yang hairannya, Kerajaan PAS Kedah tidak sama dengan Kerajaan PAS Kelantan. Jika Selangor boleh bagi free air 20 meter padu maka kerajaan-kerajaan negeri di bawah PR juga perlu mengikut langkah yang sama. Baru ada keselarasan. Pulau Pinang boleh mengadakan hari tanpa plastik, maka negeri-negeri dibawah PR juga perlu mengadakan hari tanpa plastik.

"Sekurang-kurangnya, di peringkat negeri-negeri, biarlah terdapat keseragaman agar rakyat dapat melihat model 'Malaysia Baru' yang ingin dibawa oleh PR di peringkat pusat nanti"


Akhirnya, dinda mendoakan supaya kanda Suhaizan Kayat dapat berucap dengan penuh semangat seperti selalu dan mengharumkan nama agama kita. Adinda amat mengharapkan kanda dapat menghayati kata-kata ini "Seek first to understand, than to be understood" bila berucap dan berbahas nanti. Dinda yakin kanda tidak akan mengelirukan rakan-rakan kita yang bukan beragama Islam malah membantu mereka memahami Islam dengan lebih baik. Rakan-rakan bukan Islam itu tidak seperti kita. Dinda yakin kanda akan berucap nanti mengikut level pemikiran mereka. Bak sabda nabi yang lebih kurang bermaksud, "Berdakwahlah mengikut tahap akal mereka".

Oleh kerana kanda seorang pembaca dan peminat buku, dinda rasa sudah tentu kanda Suhaizan sudah khatam buku tulisan Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi yang bertajuk Fiqh al-Aulawiyyat. Kanda tentu faham maksud Qardhawi apa yang perlu diutamakan dari yang utama. First things first. Apa prioriti kanda dalam ucapan dalam konvensyen nanti ?? Kanda seorang yang tahu. Semoga kanda dapat menyusun perkara-perkara dan isu-isu yang lebih aula dari yang aula. Pilihlah perkataan yang tepat. Bagi yang tidak memahami perkataan aula, aula bermaksud penting atau utama. Jika kanda masih tidak faham akan maksud buku itu, kanda sendiri boleh bertemu dengan penulis buku itu selepas habis Konvensyen PR, pada waktu Maghrib di Masjid Negeri Selangor di Shah Alam. Tapi dinda percaya kanda faham isi kandungan buku itu. Insya allah. Kalau boleh tanyakan pada Qardhawi apa itu maqosid negara Islam dan perlaksanaan hukum hudud. Mungkin jawapannya sama dengan kanda. Atau sama dengan dinda. Siapa tahu ??

Adinda juga menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf kepada kanda jika ada perkataan dinda yang melukakan kanda. Ala, bukan tak biasa kita ni saling mangkuk memangkukkan dalam dewan pemuda. Ha Ha Ha. Semoga ukhwah kita berkekalan sehingga ke akhir hayat.

Dari adindamu yang tampan,
Ali

No comments: