Sunday, October 11, 2009

Salam Sejahtera & Damai Dari Kami

oleh ali :

Kami dari Malaysian Bloggers yang bernaung dibawah panji Baganutama, mengibarkan bendera putih tanda pendamaian. Kami menghulurkan salam sejahtera kepada semua petugas-petugas yang berkhidmat di Bagan Pinang tidak kira samada anda dari BN atau Pakatan Rakyat. Kita datang ke sini kerana merayakan Pesta Demokrasi yang telah diwartakan dalam Perlembagaan Malaysia. Kita adalah rakyat yang berjiwa patriotik yang menjunjung perlembagaan negara. Jika tidak masakan kita berkampung di Bagan Pinang. Kita semua berjiwa pejuang.

Tapi keharmonian kita disini telah dikeruhkan oleh pemimpin yang tidak mahu kita hidup aman. Mereka cuba memecahbelahkan perpaduan sesama kita. Ia bermula bila ada pemimpin telah memprovokasi kita. Ini menyebabkan kita curiga antara satu sama lain. Kita sedang dilaga-lagakan oleh orang yang kita gelar sebagai pemimpin. Mereka mahu melihat kita bercakaran sesama sendiri. Sedangkan kitalah yang berkhidmat untuk mereka. Kita pasang poster, pasang banner, pasang bunting, ke hulu-hilir bawak bendera, tidur cuma 2 jam, tidur atas motor, makan ala kadar dan kita juga yang lebam bertumbuk antara satu sama lain. Pemimpin ??? Mereka cuma pandai merangsang kita bergaduh. Padahal mereka lena tidur kat hotel. Lihat, ucapan mereka berapi-api di atas rostrum. Tapi yang berdarah mulut adalah kita. Bukan mereka yang pasang poster kat tepi jalan, tapi kita. Kita yang berpanas dan berhujan.Kita tinggalkan anak bini dirumah. Tapi pemimpin sedang tidur lena dengan bini dibilik air-cond dihotel. Mereka laga-lagakan kita. Tapi yang untung pemimpin kita.

Mari kita semua berdamai. Cukuplah. Kita satu bangsa dan satu akidah. Bukankah kita semua orang Islam. Bob, sudahpun memaafkan kamu semua. Malah, kata dia itu hanyalah asam garam perjuangan. Biasalah, kawan-kawan tersilap dek pemimpin yang nak jaga perut sendiri. Malam ini ada solat hajat perdana kat Markaz Ulamak di Kampung Bagan Pinang pada pukul 3.30 pagi. Mari kita sama-sama bermunajat bersama-sama Tok Guru. Mari kita lupakan sengketa. Kita sama-sama berdosa antara satu sama lain. Kita berdosa kerana tidak berfikir dalam melakukan tindakan dan cuma terpengaruh dengan ucapan berapi-api dari pemimpin kita. Pedulikan pemimpin kita tu. Kita yang dibawah ini perlu bersatu. Kitalah yang patut mengajar pemimpin kita. Saudara-saudara boleh datang dengan pakaian Parti masing-masing. Kami terbuka dalam hal ini. Tiada paksaan dalam memilih parti. Itu hak anda. Kita semua wajib meraikan kebebasan berfikir dan kebebasan memilih bagi semua manusia.

Kita semua adalah One Malaysia. Bangsa Malaysia terdiri dari kaum Melayu, kaum Cina, kaum India, kaum Kadazan, kaum Iban dan semua bangsa yang tinggal dan berbakti di negara yang kita cintai ini. Biarkan pemimpin kita bercakaran. Mereka bercakar tapi tetap duduk rumah bunglow,naik mercedes tetapi kita tetap dengan motorsikal 2 lejang. Esok pagi mari kita duduk sebelah menyebelah tidak kira apa parti. Mari kita berpimpin tangan antara satu sama lain. Kita serahkan pada pengundi untuk memilih. Pandailah mereka memilih pemimpin mereka sendiri. Panduan dari kolumnis tetap suratkhabar Utusan Mingguan ini boleh dijadikan panduan untuk pengundi untuk memilih pemimpin mereka yang baru.

Esok adalah hari rehat kita. Kita makan bersama, kita bersorak-sorai dengan gembira,kita melambai bersama. Pedulikan pemimpin kita yang cuba memperbodohkan kita. Di Parlimen mereka bercakar dan memaki antara satu sama lain. Itu semua hanya lakonan. Bila di kantin mereka boleh belanja antara satu sama lain. Di lobi Parlimen, mereka bertepuk tampar, bergelak ketawa antara satu sama lain. Tapi kita ni bermusuh sampai pulau memulau, memutuskan persaudaran, sampai bertumbuk patah gigi dan macam-macam lagi. Cukuplah kita diperbodohkan oleh pemimpin kita. Esok kita bersama, duduk bersama dan makan bersama. Mari kita raikan Hari Raya Demokrasi esok pagi. Biarkan penduduk Bagan bebas memilih dengan pilihan masing-masing. Malam ini kita tidur awal dan boleh bangun bertahajud bersama. Bukankah itu impian ibu-ibu kita. Ibu-ibu kita tentu gembira kita jadi anak yang berjiwa besar. Malah jika Baginda nabi bersama kita, tentu dialah orang yang paling gembira. Jom kita buat perubahan. Mulakan dengan diri yang berdiri di depan cermin itu. Ayuh !!!

No comments: